Sunday, January 1, 2012

Saat 2011 Melabuhkan Tirai...

Alhamdulillah...2011 sudah melabuhkan tirai. Terlalu banyak pahit dan manis yang menjadi ingatan buat diri masing-masing. Ketenangan pantai pasti sesekali akan disapa oleh hempasan ombak. Rimbunan pepohon juga pasti akan bergoyang saat dihembus dengan tiupan angin. Begitu juga dengan ketenangan hidup kita seharian. Ada masanya kita diuji oleh Allah dengan pelbagai ujian. Ujian itu adalah untuk meningkatkan dan mengasah keimanan kita. Konsepnya sama dengan ujian-ujian yang kita lalui sebelum kita meniti alam persekolahan sehinggalah kita berada di alam universiti dan seterusnya alam pekerjaan. Setiap tahun, dari sekolah rendah hingga sekolah menengah kita pasti akan menduduki ujian dan peperiksaan sebelum kita layak ke tangga seterusnya. Bezanya Cuma jika kita berjaya melepasi ujian dunia, akan ada pujian dan ganjaran. Namun yakinlah jika kita berjaya melepasi ujian Allah, InsyaAllah ganjarannya menanti di sana. Setiap ujian yang dianugerahkan oleh Allah akan meningkatkan darjat keimanan seseorang mukmin jika dia menghadapinya dengan tenang dan redha. Menjadi orang beriman merupakan satu kurniaan besar buat seseorang kerana ia menghantarkan orang tersebut ke Syurga Allah yang indah tak tergambar dek kata-kata. Ujian-ujian yang melanda itu kadang-kala menyebabkan kita semakin dekat, bertawakal kepada Allah dan kadang-kala semakin menjauhkan kita dengan Allah. Dalam hal ini, kita boleh lihat bagaimana penerimaan seseorang itu terhadap ujian yang diterimanya. Bagi orang yang beriman, ujian dan dugaan itu akan meningkatkan kecintaannya kepada Allah dan menyuburkan keyakinan kepada ketetapan Allah dalam hidupnya. Dia juga akan terdorong untuk terus menyintai Allah kerana kelemahan yang ada dalam dirinya itu. Kerana dia tahu betapa Maha Kuat dan Maha Perkasanya Ya Rabbi yang menyusun dan mengatur seluruh seluruh kehidupan makhluk ciptaanNYA. Ada ujian yang Allah turunkan untuk kesabaran, ujian untuk bersyukur, ujian untuk memberi petunjuk, ujian sebagai hukuman, ujian sebagai cubaan, ujian untuk memajukan diri dan ujian untuk mendapat pahala. Siapa yang tidak merasakan ujian dan musibah dalam dirinya, dia takkan pernah tahu tahap nilai yang ada dalam dirinya. Jadi, walau sekuat manapun taufan yang melanda kehidupan kita, maka sentiasa optimislah!! Sebagai seorang manusia biasa, memang perlu ada rasa sedih yang menyapa di hati tatkala diri ditimpa dugaan. Namun bagaimana sikap kita menghadapi ujian tersebut? Adakah kita terus menerus salahkan takdir? Ingatlah sesungguhnya Allah menimpakan sesuatu itu sesuai dengan tahap kemampuan seseorang. Apa sahaja yang menimpa, anggaplah itu merupakan satu anugerah yang tidak ternilai bagi kita. Jangan sesekali rasa kecewa atau pun putus asa. Bangkitlah supaya kita menjadi orang yang optimis dalam menghadapinya. Ujian Allah itu menyebabkan kita semakin dekat dan hampir dengan DIA kerana ayat-ayat Allah dan sabda-sabda Rasulullah adalah ubat yang terbaik untuk menyembuhkan kesakitan di hati. Ayat-ayat Kalam Allah inilah yang terkesan di hati orang yang dilanda kesedihan. (Kalau tak percaya, saat anda sedang bersedih segeralah berwudhu dan membaca Al-Quran). Selain itu, kesabaran juga menjadi penguat iman kita yang dilanda dugaan. Jadi, kita perlu sama-sama menguatkan iman dan kesabaran kita supaya setiap ujian itu dapat kita hadapi dengan tenang dan redha. Oleh itu, apabila ditimpa sesuatu musibah maka jangan pernah buruk sangka dengan Allah. Akan tetapi yakinlah ada hikmah di sebaliknya. Yakinlah, pada setiap kesakitan itu pasti terselit hikmah kebaikan yang kita sendiri perlu fahami. Semoga tahun 2012 yang menjelang ini semakin mendewasakan kita, dan mematangkan kita dalam setiap langkah yang diambil. Semoga Allah memberkati usia kita yang semakin meningkat ini dan hidup kita sentiasa mendapat berkat dari-NYA. SELAMAT DATANG 2012!!

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Perjalanan

Daisypath - Personal pictureDaisypath Graduation tickers